Header Ads

Mohd. Amzar juara lukis monumen warisan sejarah Johor

JOHOR BAHRU 20 Ogos - Penyertaan saat-saat akhir membawa tuah kepada pelajar tingkatan tiga, Mohd. Amzar Mohamed, 15, yang muncul juara kategori menengah rendah pada Pertandingan Melukis Monumen Warisan Sejarah Johor di sini baru-baru ini.

Mohd. Amzar dari Subang Jaya, Selangor berkata, dia tidak menyangka lukisan yang disiapkan dalam tempoh hanya dua hari sebelum tarikh tutup pada Julai lalu itu berjaya menewaskan 70 peserta lain.

"Disebabkan sibuk urusan lain termasuk mengulang kaji bagi persiapan Penilaian Menengah Rendah (PMR), saya terpaksa siapkan lukisan ini saat-saat akhir," katanya.

Pelajar Sekolah Seni Johor Bahru itu ditemui selepas Majlis Perasmian Pameran dan Penyampaian Hadiah pertandingan berkenaan di Galeri Seni Johor di sini hari ini.

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Asiah Md. Ariff.

Turut hadir Pengarah Yayasan Warisan Johor (YWJ), Jama Johan.

Mohd. Amzar berkata, dia menyiapkan lukisan ekspresi monumen bangunan pentadbiran Johor itu pada waktu petang dan malam kerana ia paling sesuai untuk berkarya.

Lukisan menggunakan cat air itu seterusnya membolehkan anak keenam daripada lapan beradik itu membawa pulang wang tunai RM700.

"Saya terharu kerana tak sangka akan menang. Lepas habis PMR ini, saya bercadang masuk lebih banyak pertandingan," kata pelukis kidal itu yang meminati lukisan potret.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Engku Tun Aminah, Tai Wan Ying, 17, muncul juara kategori menengah atas untuk membawa pulang wang tunai RM1,000.

Wan Ying dari Kampung Melayu Majidee berkata, ia adalah kejayaan keduanya selepas menjadi juara kategori dan pertandingan yang sama tahun lalu.

"Tahun lalu saya hasilkan lukisan air terjun, tetapi kali ini lebih formal dan mencabar kerana melukis Bangunan Sultan Ibrahim," kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Dia mengambil masa dua minggu menyiapkan lukisan tersebut menggunakan cat air di rumahnya.

"Saya sangat gembira kerana tidak menyangka menang sekali lagi walaupun lebih gemar melukis alam sekitar seperti air terjun," katanya yang mula belajar melukis sejak berusia lapan tahun.


Dipetik dari Utusan Melayu Wilayah Selatan (21 Ogos 2009)

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_05.htm

Tiada ulasan