Getra 2.0 2018
Muzik tradisional merupakan salah satu
elemen tradisi bagi sesuatu bangsa yang harus dikekalkan malah diwarisi oleh
generasi masa kini agar tidak ditelan zaman. Di Malaysia sendiri, kita
mempunyai pelbagai jenis muzik tradisional yang mempunyai ciri dan keistimewaan
tersendiri. Antaranya ialah seni muzik tradisional Ghazal, Gamelan dan
Keroncong yang sudah semakin kurang dimainkan atau dipersembahkan dalam kalangan
masyarakat masa kini. Justeru, panitia Muzik Sekolah Seni Malaysia Johor
(SSEMJ) telah sepakat untuk mengadakan satu program muzik tradisional yang
bertujuan untuk mengetengahkan genre muzik tradisional yang utama di Malaysia.
Antara muzik tradisional yang akan dipersembahkan ialah Ghazal, Gamelan,
Keroncong dan Pergendangan. Bagi memastikan murid memberikan komitmen 100
peratus pada program tersebut, pihak panitia Muzik SSEMJ akan mengadakan sesi
bengkel selama dua hari yang akan diadakan sebelum dan semasa program diadakan.
Bengkel ini akan dibimbing oleh penceramah-penceramah jemputan sebagai kaedah pengukuhan
kemahiran murid. Hal ini bertujuan untuk memastikan murid mematuhi segala
elemen dan adat serta peraturan tradisi dalam seni persembahan muzik tradisional.
Para penceramah yang akan dijemput merupakan aktivis muzik tradisional dan juga
para pensyarah dari institusi-institusi pengajian yang terdapat di Malaysia agar
memastikan ilmu yang akan disampaikan adalah tepat selaras dengan muzik
tradisi.
Pada masa yang sama, aktiviti bagi bengkel pengurusan juga akan
dijalankan bagi murid-murid yang akan
bertugas dalam pengurusan persembahan nanti. Di samping itu, peserta Getra
dapat mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan
dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan
berupaya mencipta sesuatu sebagaimana bertepatan dengan amalan Kemahiran
Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Selain itu,
bagi konsep persembahan pula, murid-murid bidang muzik akan terlibat sebagai
peserta utama program ini disamping persembahan daripada beberapa peserta
jemputan yang terdiri daripada sekolah-sekolah, institusi-insitusi pengajian
tinggi tempatan dan agensi luar sebagai selingan serta sesi perkongsian ilmu
sesama peserta yang hadir.
Sebagai tambahan, persembahan ini juga akan
memuatkan beberapa elemen ”fusion” ke dalam muzik tradisional sebagai kelainan
dan kemajuan dalam seni muzik tradisional. Dari sudut yang berbeza, idea ini
dapat menarik minat masyarakat daripada pelbagai lapisan umur untuk mewarisi
muzik tradisional dan berusaha untuk meneruskan seni tradisi ini.
Bagi tujuan
itu juga, kumpulan peserta yang dijemput terdiri daripada murid-murid sekolah
rendah hingga peringkat pengajian tinggi. Di samping menimba ilmu, program ini
juga dapat menambah jaringan dan jalinan antara SSeMJ dan pihak luar serta
dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama masyarakat.
Program Gema
Tradisi (GETRA 2.0) ini akan diadakan selama 3 hari iaitu pada 13 , 14 dan 15
September yang akan diadakan di SSeMJ. Sebagai penilaian persembahan dan program,
pihak panitia muzik SSeMJ telah bercadang untuk menjalankan bancian dalam
bentuk ’exit with donation’ yang merujuk kepada sumbangan yang diberikan
berdasarkan kepuasan penonton setelah selesai menonton persembahan.
Sehubungan
dengan itu, diharapkan program ini dapat memberi manfaat kepada murid SSeMJ
khususnya dalam bidang seni muzik dan semua pihak yang terlibat. Semoga program
GETRA 2.0 ini sebagai satu usaha mewarisi muzik tradisional malah dapat menambah
ilmu daripada pelbagai aspek.
Kerjasama semua pihak amat diharapkan agar
program ini dapat dijalankan dengan lancar dan dapat mencapai standard kebitaraan seperti yang telah
ditetapkan. Selain itu, program ini juga telah disasarkan untuk mencapai tahap
program peringkat kebangsaan berdasarkan perancangan program, isi kandungan
program, gabungan jaringan dan jalinan yang telah dihubungkan serta
elemen-elemen muzik tradisional yang diketengahkan.
Post a Comment