Header Ads

Nasib murid sekolah seni diragui Oleh Azida Shaharuddin

Nasib murid sekolah seni diragui
Oleh Azida Shaharuddin

2011/03/07 (Berita Harian)

SEKOLAH Seni Johor Bahru Jalan Abdul  Samad.
SEKOLAH Seni Johor Bahru Jalan Abdul Samad.
Sistem penggredan didakwa tidak diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi

JOHOR BAHRU: Lebih 100 pelajar perintis dua sekolah seni kendalian Kementerian Pelajaran yang kini berada dalam Tingkatan Lima, dijangka berdepan masalah memohon kemasukan institusi pengajian tinggi (IPT) kelak berikutan sistem penggredan digunakan dalam peperiksaan mata pelajaran kesenian mereka didakwa tidak diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi.

Status itu dikatakan mencetus kebimbangan pelbagai pihak, khususnya ibu bapa dan guru, terhadap nasib serta hala tuju pelajar dua sekolah seni yang ditubuhkan sejak Januari 2007, iaitu Sekolah Seni Johor Bahru (SSeJB) dan Sekolah Seni Kuching (SSK).
Menurut sumber rapat dengan pengurusan sekolah seni itu, sistem penilaian dan penaksiran subjek kesenian yang diambil pelajar terbabit adalah dalam bentuk Band merangkumi Band I hingga VI, berbeza dengan sistem untuk mata pelajaran akademik.
Beliau mendakwa, sistem Band seumpama turut digunakan dalam penilaian Malaysian University English Test (MUET) yang diiktiraf kerajaan tetapi dalam konteks mata pelajaran kesenian di sekolah seni, ia belum diiktiraf Kementerian Pengajian Tinggi.

“Modul, sukatan pelajaran dan keputusan peperiksaan menggunakan sistem penggredan Band di sekolah seni dilaksanakan Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Kementerian Pelajaran.

“Bagaimanapun, masalah kini timbul apabila Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menyarankan pelajar ini mendaftar untuk menduduki peperiksaan subjek kesenian sekolah harian biasa bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan November depan.

“Kumpulan perintis sekolah seni ini meluangkan hampir 12 jam seminggu untuk mempelajari subjek kesenian mereka dan menerusi sukatan serta modul khas yang diikuti, pendidikan mereka boleh dianggap setaraf pengajian pelajar tahun pertama peringkat diploma.
“Jadi persoalan kini, berbaloikah usaha semua pelajar sekolah seni ini jika mendaftar mengambil peperiksaan sekolah harian biasa semata-mata untuk memastikan gred mata pelajaran kesenian mereka diiktiraf?” katanya.

Sumber itu berkata, isu berkenaan perlu diberi perhatian segera kerana pelajar sekolah seni terbabit bakal mendaftar mata pelajaran yang akan diambil dalam peperiksaan SPM pada akhir bulan ini.

“Masalah ini dikatakan sudah dikenal pasti sejak lebih setahun lalu dan dibincangkan dalam mesyuarat Kementerian Pelajaran dari semasa ke semasa.

“Namun sehingga kini difahamkan tiada sebarang penyelesaian diperoleh, sebaliknya memerlukan transformasi pada peringkat pelajar sendiri. Di manakah martabat sekolah seni jika keadaan sebegini berlaku?” katanya yang meminta BPK Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi memandang serius masalah itu dan mengatasinya segera.

Beliau mendakwa sekiranya perkara itu berterusan dan mengundang masalah pada masa depan, tidak mustahil ibu bapa pelajar di sekolah itu memberhentikan anak kerana menganggap lebih baik mereka mengikuti pembelajaran di sekolah harian biasa.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SSeJB, Selamat Omar, mendakwa perkara berkenaan sering dibangkitkan pada mesyuarat PIBG sejak tahun lalu, namun sehingga kini pihak sekolah dan ibu bapa masih belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Kementerian Pelajaran mahu pun Pengajian Tinggi mengenainya.

“Mungkin bagi pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dari segi akademik tidak bermasalah untuk memasuki IPT tempatan.

“Namun bagaimana pula dengan pelajar yang sederhana pencapaiannya, iaitu keputusan akademik dan kesenian masing-masing hanya 50-50, tentu peluang sukar untuk mereka memasuki IPT,” katanya.

Selain itu, Selamat berkata, ramai ibu bapa juga pernah mempersoalkan mengapa pelajar sekolah seni perlu memilih aliran sains atau sastera ketika memasuki Tingkatan Empat selepas mendapat keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

“Kami terkejut dengan keadaan ini. Dari awal lagi kami sudah bertanya ketika bermesyuarat, mengapa sekolah seni perlu mengikut format sekolah harian biasa? Apa yang kami risaukan sebelum ini kini sudah dapat dilihat sekarang,” katanya ketika dihubungi semalam.

SSeJB dan SSK diwujudkan kerajaan sebagai saluran kepada pelajar berbakat dan berpotensi dalam bidang kesenian untuk mendalami bidang yang mereka minati itu.

Sekolah berkenaan menawarkan pendidikan kesenian teater, muzik, pendidikan seni visual dan tarian, selain subjek wajib lain seperti Matematik, Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris.

4 ulasan

Unknown berkata...

ibu bapa serta pelajar perlu jelas tentang matlamat dan objektif masa depan pelajar dan sekolah. sebagai ibu bapa saya tidak pernah sangsi tentang kesenian anak2 di sekolah. pembelajaran seni di sekolah adalah satu ruang terbela yg diberikan kepada anak saya disamping perlu lebih menumpukan kepada pelajaran hakiki. saya sering menekankan kepada anak2 saya, di luar sekolah saya boleh memberi ruang kesenian yg lebih baik dari sekolahnya tetapi keseimbangan pembelajaran kesenian dan akedemik saya lebih tabik kepada sek seni. mereka mendapat kedua-duanya sekali iaitu kesenian yg diminati dan akedemik yg dituntuti.
jadi, ibu bapa tidak perlu risau tentang provokasi sistem penggredan itu. saya menganggap pembelajaran bidang kesenian yg terancang itu adalah imbuhan positif dalam sistem pembelajaran mereka. sedangkan anak saya tidak pula bercita2 untuk menjadi org seni, tetapi pelajaran kesenian itu dapat diguna pakai untuk masa depan mereka kerana ORANG SENI JUGA PERLU BERILMU.

Sayang Eizyana berkata...

bersetuju dgn pendapat mamaZi...
tk semestinya masuk sek seni nk jadi org seni..nk jd penari or yg lain2. jgn kecikkan skop. actly bid kesenian amat luas. wpun ramai yg berpdpt sek seni kurang menitikberatkan akademi itu adalah salah. if ada parents yg beranggapan begitu, jgn hantar ank ke sekolah seni. masuk sj ke sekolah yg menekankan 100% cemerlang akademi. tepat sekali org seni sharusnya pya ilmu..dan ilmu itu dpt dituntut di sek seni..
bila penubuhan sek seni dilaksanakan, pastinya pihak2 terbabit telah meneliti kesan jangka panjang termasuklah hala tuju pelajar2 selepas SPM...sebagai PEWARIS BUDAYA BANGSA..biarkan anak2 kita "enjoy" dgn pembelanjaran mereka...

Zoulphoto berkata...

Terima kasih atas komen anda berikan kepada Sekolah Seni Johor Bahru. Walaupun sekolah kami buat pertama kalinya akan menghadapi SPM tahun ini. kami sentiasa berusaha agar bidang kesenian dan akademi seimbang buktinya PMR 2009 & 2010 ramai pelajar kami mendapat semua A didalam kedua-dua peperiksaan tersebut. Doa anda harapan kami.

taufiqsyhami berkata...

Saya alumni pelajar Sekolah Seni Malaysia Johor, alhamdulillah Cemerlang akademik dan juga kesenian.
keputusan SPM 1 sahaja B yang lain semua A. KESENIAN diiktiraf Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Teknologi Malaysia. Rakan - rakan saya ada yang menyambung pelajaran di luar negara dengan scholarship.

Tepuk dada tanya selera, salurkan masa depan anak anda di jalan yang betul.


style="display:block"
data-ad-format="autorelaxed"
data-ad-client="ca-pub-2706160013264603"
data-ad-slot="4282993893">