SSeMJB dinobat juara dunia - Laporan Berita Harian 5 septemmber 2012


Pelajar SSeMBJ bersama sijil dan piala dimenangi pada pertandingan World Championship of folklore setibanya di KLIA, semalam. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Menang emas tarian, muzik tradisional pertandingan di Bulgaria 
Sepang: Sekolah Seni Malaysia Johor Bahru (SSeMJB) dinobatkan juara keseluruhan Pertandingan World Championship of Folklore 2012 selepas memenangi pingat emas bagi kategori tarian dan muzik tradisional. Mereka menewaskan 70 kumpulan dari 26 negara bagi merebut salah satu anugerah kesenian tersohor pada peringkat antarabangsa dalam pertandingan kedua itu. 
Sekolah berkenaan turut dianugerahkan pingat emas bagi persembahan individu yang menjadi milik Nurul Farahin Mustafa, 16, bagi acara nyanyian dalam pertandingan yang berlangsung di Nessebar, Bulgaria antara 29 Ogos hingga 2 September lalu. 
Terima penghormatan 
Sebagai juara keseluruhan pula, SSeMJB menerima penghormatan Grand Prix Golden Orpheus selain diiktiraf johan yang melayakkannya menerima Gold Diploma bagi kategori Folklore Ensembles. 
Kemenangan itu juga melayakkan sekolah menerima 1,000 Euro (RM3,910) dan diploma daripada penganjur pertandingan, World Championship of Folklore. 
Kumpulan 19 pelajar Tingkatan Empat dan Lima bertanggungjawab memasyhurkan nama negara, yang dikenali sebagai Warisan Art Troupe of Johor itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 3 petang semalam. 
Menyambut kepulangan pelajar berkenaan di KLIA ialah Timbalan Pengarah (Kokurikulum dan Kesenian) Kementerian Pelajaran, Mohamed Yamin Mohamed Yusuf, yang menyuarakan rasa bangga dengan pencapaian SSeMJB di persada global. 
"Mereka mengharumkan nama Malaysia dan membuatkan negara kita terkenal di pentas dunia, malah masyarakat seni antarabangsa kini mengiktiraf seni kebudayaan negara. 
"Ini adalah pembabitan kali kedua SSeMJB pada peringkat antarabangsa. Kali pertama, mereka bertanding dalam pertandingan seumpamanya di St Petersbug, Russia. 
"Namun, usaha kali ini lebih berbaloi lagi bermakna kerana memenangi anugerah keseluruhan. Orang luar pun kini sudah mengiktiraf bakat pelajar kita," katanya. 
Pada pertandingan yang diadakan November tahun lalu di Russia, SSeMJB menyertainya bersama Sekolah Seni Malaysia Kuching, Sarawak (SSeMKS) dan memenangi Silver Diploma serta Anugerah Khas Juri. 
SSeMJB dan SSeMKS juga masing-masing memenangi Anugerah Persembahan Terbaik serta Kostum Terbaik manakala jurulatih mereka menerima Bronze Diploma.

1 Response to "SSeMJB dinobat juara dunia - Laporan Berita Harian 5 septemmber 2012"

zunda berkata...

Tahniah buat semua warga SSeJB...walaupun anak telah ke UPSI hasil didikan sekolah ini, saya sentiasa mengikuti perkembangan SSeJB sehingga kehari ini..